HOME | BIODATA DiCC | Kembali ke Blog EAC

Hukum Hiburan Dalam Islam

Friday, 3 February 2012


Islam agama yang meraikan kepelbagaian fitrah manusia. Berbeza dengan agama-agama lain, Islam menolak sesuatu yang jauh daripada fitrah, juga sesuatu yang bersifat mengongkong penganutnya. Dalam konteks individu, sebagai contoh Islam menolak rahbaniah bahkan menganjurkan pelaksanaan ibadat dalam bentuk wasatiah, iaitu seperti menggalakkan seseorang berbuka apabila berpuasa, berkahwin dan tidak meninggalkan tidur dalam beribadat.
Justeru itu, fitrah manusia yang lainnya seperti kemuyulan untuk suka kepada kecantikan diraikan oleh Islam sama sekali. Kecantikan dan keindahan yang dikecapi oleh pancaindera sama ada melalui penglihatan mahupun pendengaran dan selainnya menjadi perkara yang diharuskan oleh Islam selagimana sejajar dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Pemilik Segala Kecantikan.
Menikmati keindahan, kecantikan dan hiburan yang dibolehkan sebenarnya mampu merehatkan jiwa, menenangkan hati, menyedapkan pendengaran. Hiburan yang dibolehkan juga mampu menyebarkan perasaan gembira terutama di majlis-majlis keraian.
PANDANGAN UMUM TENTANG HIBURAN
Secara umumnya, terdapat 3 golongan masyarakat yang berbeza pendapat tentang keharusan lagu dan muzik; pertama adalah mereka yang membuka pintu yang luas untuk semua jenis hiburan dan lagu dan menganggap lagu dan muzik merupakan suatu bentuk keindahan dalam hidup yang dibenarkan oleh Allah untuk hamba-hambaNya.
Kedua, golongan yang mutasyaddid, menutup terus ruang-ruang untuk berhibur terutama apabila hiburan tersebut disampaikan oleh golongan wanita kerana mereka mendakwa suara wanita adalah aurat, apatah lagi dengan nyanyian-nyanyian itu sendiri?
Ketiga, golongan yang duduk antara dua golongan yang sebelumnya, masyarakat yang menanti jawapan daripada golongan fuqaha’ dan ulama’ berkaitan perkara yang berhubung dengan kehidupan mereka seharian lebih-lebih lagi apabila radio sudah masuk ke rumah-rumah mereka.
DALIL-DALIL MENGENAI HUKUM HIBURAN
Bagi golongan yang mengharamkan terus hiburan, nyanyian mahupun muzik, holistiknya, mereka datang dengan dalil-dalil yang dipetik daripada Al-Quran, assunnah, dan ijmak, serta menggunakan kaedah saddu’ zaraie’ (menutup ruang-ruang membawa kepada haram) dan kaedah menjauhi syubhat (ittiqai assyubhat).
“Namun begitu, majoriti fuqaha’ antaranya Syeikh Yusuf Al-Qardhawi menjawab bahawa nas-nas yang didatangkan walaupun ditafsir oleh para sahabat seperti Ibnu Mas’ud dan Ibnu Abbas dalam sesebuah ayat, ia bukanlah satu-satunya tafsiran yang boleh diambil kira”
Namun terdapat tafsiran-tafsiran lain yang boleh diguna pakai dalam menafsirkan ayat tersebut. Tafsiran para sahabat untuk satu-satu ayat tidak dihukumkan dengan marfu’ melainkan tafsiran yang turun sebagai asbab nuzul.
Syeikh Wahbah Zuhaili menaqalkan kata-kata Imam Al Fakihani; “Tidak aku ketahui daripada Kitab Allah mahupun sunnah suatu hadis yang sahih dalam pengharaman hiburan-hiburan malah ia adalah zahir dan umum ayat yang boleh ditakwil tanpa dalil-dalil yang qat’ie”
Adapun untuk nas-nas daripada assunnah yang dijadikan dalil pengharaman oleh golongan ini telah pun dihukumkan dhoif oleh mazhab zohiriah, malikiah, hanabila dan syafiiah . Oleh itu, kebanyakan ulama’ zohiriah, ahli madinah dan golongan sufiah merukhsahkan lagu-lagu untuk didengar walaupun yang datang daripada gambus dan seruling.
Kaedah seterusnya yang dijadikan dalil oleh golongan yang mengharamkan terus hiburan ialah saddu zaraie’(menutup ruang-ruang yang boleh membawa kepada haram).
“Syeikh Yusuf Qardhwi menjawab bahawa kaedah ini tidak sepatutnya digunakan secara mubalaghah (berlebih-lebihan) terutamanya apabila mengharamkan sesuatu yang boleh membawa kepada kebaikan dan menyempitkan ruang-ruang yang telah diberi sedangkan kaedah ini terdapat tahap-tahapnya dan tidak sampai tahap yang ditutup terus jalan ke arahnya”
Manakala kaedah ittiqa assyubhat (menjauhi perkara-perkara syubhat) bukanlah suatu kewajipan, namun ia adalah perkara sunat sahaja yang digunakan untuk perkara yang samar-samar, bukanlah digunakan antara dua perkara yang sudah jelas keharusannya.
Mengikut kaedah usul fiqh, asal sesuatu perkara adalah mubah (harus) sehingga datangnya dalil pengharaman. Perkara yang sudah thabit pengharamannya tidak boleh diingkari lagi pengharamannya, namun perkara yang diikhtilafkan, sesebuah golongan tidak boleh mengilzamkan yang lain supaya berpegang dengan satu-satu pendapat.
Memetik pandangan Imam Nawawi yang menarik dalam hal ini; “Setiap mujtahid telah mendapat pahala kerana benar, adapun mujtahid yang tersalah tidak dipertanggungjawabkan, kerana dosa telah terangkat daripadanya.”
Sedangkan golongan yang membolehkan hiburan pula mendatangkan nas-nas daripada ayat Al-Quran, hadis, kata-kata para sahabat dan kembali kepada maqasid syariah. Maqasid syariah mengatakan bahawa Islam tidak pernah mengharamkan suatu yang baik melainkan ia membolehkannya, sebagai rahmat kepada ummah untuk kebaikan jiwa-jiwa dan akal manusia.
HUKUM & SYARAT HIBURAN DIHARUSKAN
Syeikh Wahbah Zuhaili menyebutkan syarat-syarat dibolehkan hiburan antaranya :
1) Tidak meninggalkan adab-adab Islam
2) Isi, tajuk lagu tersebut tidak menarik ke arah kemaksiatan dan perkara-perkara haram serta meninggalkan perkara-perkara wajib
3) Tidak disekalikan dengan kemaksiatan seperti dalam majlis yang bercampur dengan minum arak, berzina dan sebagainya
4) Larangan membawa masuk alat muzik ke masjid kerana masjid dibina untuk mengingati Allah dan solat.
Dua syarat lain ditambah oleh Syeikh Yusuf Al-Qardhawi :
5) Lagu yang didengar tidak sampai terkesan atau kekal dalam diri pendengar sehingga merangsang syahwatnya dan mendorong ke arah fitnah
6) Tidak berlebih-lebihan kerana Islam melarang berlebih-lebihan dan sia-sia
Jika bentuk hiburan tersebut sudah bebas daripada unsur-unsur haram seperti di atas, maka para ulama’ berselisih pendapat mengenai keharusan hiburan tersebut:
1) Sebahagian daripada mereka mengharuskan nyanyian sama ada dengan alat atau tanpa alat bahkan menganggapnya sebagai mustahab (perkara yang digalakkan)
2) Sebahagiannya menghalang dengan alat, tetapi mengharuskan tanpa alat
3) Menghalang terus secara mutlak bahkan masih menganggapnya haram
Syeikh Yusuf Al-Qardhawi menyimpulkan dalam fatwanya bahawa,:”Nyanyian secara zatnya adalah halal berdasarkan kaedah asal pada sesuatu adalah halal selagimana tidak datang bukti nas yang betul mengenai pengharamannya.”
Dinaqalkan daripada Ibnu Juraij bahawa hukum harusnya lagu ini juga mengambil kira faktor niat. Bukan semua lagu itu perkara yang sia-sia dan melalaikan akan tetapi hukumnya bergantung kepada niat seseorang. Niat yang baik menjadikan perkara yang sia-sia suatu perkara yang mendekatkan diri kepada Allah, menjadikan gurauan kepada ketaatan manakala niat yang buruk menghapuskan amal yang zahirnya ibadat tetapi batinnya riya’.
Syeikh Wahbah Zuhaili mengatakan hukum mendengar nyanyian pula yang membenarkan percampuran antara lelaki dan perempuan telah diharamkan oleh keempat-empat mazhab kecuali nyanyian dalam majlis perkahwinan, meraikan kelahiran, menyambut keraian untuk negara atau untuk tujuan merawat.
HUKUM MENGENAI SUARA PEREMPUAN
Islam memelihara ketinggian wanita dengan memberi garis panduan dalam muamalat, tertib pemakaian dan akhlak demi menjaga ‘iffah wanita itu sendiri. Walaubagaimanapun, suara wanita bukanlah aurat mengikut pandangan Islam. Buktinya, wanita di zaman nabi sallallahualayhiwasallam bertanyakan hukum hakam kepada baginda dan bermuamalat dengan para sahabat mengenai keperluan mereka.
Namun begitu, suara wanita yang pada asalnya bukan aurat bertukar menjadi aurat apabila tidak memenuhi salah satu daripada tiga syarat iaitu apabila isi kandungan kalamnya mempunyai unsur tidak baik dan haram. Jika wanita terlibat dalam pertandingan musabaqah Al-Quran, maka ketika itu suaranya bukanlah aurat kerana isi kandungan kalamnya adalah ayat suci Al-Quran.
Manakala syarat yang kedua adalah suara wanita tersebut disyaratkan tidak lantang, tidak ditinggikan suara melebihi had i’tidal seperti menjerit-jerit yang boleh menjatuhkan maruah dan akhlaknya.
Syarat yang ketiga iaitu hendaklah suara wanita tersebut jika didengari ketika khalwat (berdua-duaan) dengan lelaki ajnabi tidak sampai membawa kepada zina.
Andai kata suara wanita tersebut jika didengari oleh lelaki ajnabi ketika berdua-duaan menjatuhkan seseorang kepada zina maka suara tersebut bertukar menjadi aurat.
Oleh itu, dalam apa jua keadaan sekalipun, wanita digalakkan untuk menjaga adab dalam percakapan supaya tidak membawa kepada fitnah terutama bagi kaum lelaki.
PENGGUNAAN ALAT MUZIK
Mazhab Hanbali mengatakan bahawa hukumnya haram. Segala alat muzik yang ditiup dan bertali seperti seruling dan gitar serta lain-lainnya. Mazhab Shafie juga mengatakan haram bagi segala alat muzik bertali, bertiup dan segala alat muzik yang dipalu melainkan kompang. seperti seruling dan gitar serta lain-lainnya.
Mazhab Maliki pula mengatakan haram menggunakan alat-alat muzik yang bertali seperti gitar dan lain-lainnya. Mazhab Hanafi juga mengatakan hukum semua jenis alat muzik haram kecuali kompang.
Namun begitu, di sana berlaku perselisihan ulama-ulama dalam membincangkan dalil-dalil yang digunakan oleh ulama-ulama mazhab dalam permasalahan alat-alat muzik yang dibenarkan dan tidak dibenarkan oleh syarak. Setelah meneliti pandangan-pandangan ulama pelbagai mazhab, maka dapat disimpulkan di sini bahawa harus menggunakan semua jenis alat muzik.
Ini kerana tiada dalil yang sahih dan terang bagi mengharamkan jenis-jenis alatan muzik itu. Kenyataan ini dikeluarkan oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qardhawi bagi menyokong pendapatnya seperti tertulis dalam kitabnya al-Islam Wa al-Fannu.
Pengharaman sesuatu alat muzik akan berlaku kerana adanya unsur-unsur lain seperti maksiat dan kelalaian terhadap tuntutan agama bersamanya. Namun perlu diingatkan bahawa hendaklah kita sentiasa meraikan ijtihat-ijtihat ulama muktabar kita dalam sesuatu masalah yang dikemukakan.
KESIMPULAN
Tuntasnya, lebih awla apabila seorang muslim untuk mengambil azimah untuk dirinya dan menghindari diri daripada perkara yang meragukan. Barangsiapa yang mengambil rukhsah maka hendaklah dia menjaga dirinya dan memilih sesuatu yang paling jauh daripada tempat yang boleh menjatuhkan dosa selagi dia mampu.
Jika masalah yang dibincangkan semata-mata pada masalah mendengar hiburan, muzik dan nyanyian hukumnya dibolehkan tetapi dengan syarat-syarat yang ditetapkan, maka penglibatan seseorang dalam dunia seni adalah suatu bahaya yang besar pada agama seseorang muslim yang sangat jarang sekali orang yang dapat keluar daripadanya dalam keadaan selamat dan sejahtera.
“Penglibatan wanita muslimah pula dalam nyanyian mendedahkannya kepada fitnah dan mungkin menjatuhkannya ke dalam lubang haram seperti kemungkinan berdua-duaan dengan orang asing, bercampur gaul dengan kaum lelaki bahkan percampuran dengan wanita-wanita yang berhias secara bebas sama ada dengan muslim atau bukan muslim boleh membawa kepada haram.”
Pesanan daripada al-faqir : Janganlah BERLAZAT-LAZAT dengan perkara yang HARUS kerana kemungkinan membawa kepada perkara yang HARAM.
RUJUKAN :
Imam Nawawi Syarah Soheh Muslim
Syeikh Yusuf Al-Qardhawi Fiqh Al-Ghina’ Wal Musiqi
Al Ustaz Adduktur Wahbah Zuhaili Fiqh Muasarah
Fatawa Mar’ah Muslimah
Muhadarah Syeikh Ahmad Hajain Masjid Al-Azhar
Syeikh Yusuf Al-Qardhawi Halal Wal Haram Fil Islam
DISEDIAKAN OLEH :
PELAJAR AMANAHRAYA ISLAMIC STUDIES STUDENTS ASSOCIATION
Universiti Al-Azhar As-Syariff, Kaherah
Wallahua’lam.

nota kaki: gambar sebagai hiasan. Dicuplik daripada google image
 

Hiburan Menurut Pandangan Syarak



Melihat kepada perkembangan semasa hari ini, kita melihat banyak perkembangan dari segi hiburan serta unsur-unsur keterlaluan dalam perkembangan industri muzik dan seni suara, terutamanya yang berkaitan dengan program hiburan realiti tanahair mahupun secara globalnya di seluruh  dunia.
Malah lebih malang lagi apabila isu ini sudah menular di sekeliling mahasiswa/wi Islam di timur tengah ini. Sememangnya perkara ini adalah satu isu yang perlu diberikan perhatian. Ini adalah penting kerana perkembangan tersebut begitu menampakkan kesan dan pengaruhnya terhadap gaya hidup remaja dan belia masa kini.

Secara umumnya, Islam tidaklah mengharamkan hiburan secara keseluruhannya, namun hiburan tersebut mestilah mengikut nilai-nilai murni yang diajarkan oleh agama Islam dan tidak melalaikan. Ini kerana hiburan juga merupakan suatu perkara yang fitrah yang rata-rata manusia menjadikan muzik dan seni suara adalah merupakan hasil kreativiti yang mencerminkan manifestasi pemikiran, emosi, dan inovasi manusia. Ianya adalah sebahagian daripada aktiviti rekreasi manusia yang terkandung di dalamnya seni, budaya, hiburan, kehalusan bahasa dan juga pemikiran yang sentiasa diperbincangkan dalam mana-mana sejarah, kebudayaan dan tamadun manusia.

Sebagai seorang muslim, kita meyakini bahawa Islam merupakan satu cara hidup yang sempurna dan pasti dapat menjawab setiap persoalan hidup manusia yang mempunyai keinginan yang bermacam-macam dan tidak terkecuali dalam urusan yang berkaitan dengan hiburan. Tujuan syariat Islam bukanlah untuk menyekat segala bentuk kebebasan manusia tetapi sebaliknya lebih kepada mengawal dan mendidik, kerana Islam itu sesuai dengan fitrah semulajadi manusia dan boleh diamalkan pada setiap zaman dan tempat walau dimana kita berada.

Hiburan dalam Islam sangat berlawanan dengan konsep mencari hiburan dan kepuasan murahan bagi memenuhi tuntutan nafsu yang tiada sempadan. Malah hiburan itu juga adalah suatu yang terkawal dan terarah, dan bukannya satu cara mencari keseronokan dengan cara yang amat bebas sehingga tidak terkawal dan tidak terikat dengan batas-batas perundangan dan nilai keagamaan.
Konsep berhibur dengan tujuan untuk kesejahteraan, menenangkan fikiran dan kerehatan tubuh badan adalah dibolehkan oleh syarak. Dalil keharusan ini dapat dilihat dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. kepada Abdullah bin Amr bin Al-As , yang bermaksud:

"Wahai Abdullah bin Amar, "Sesungguhnya ke atas kamu hak untuk Allah s.w.t., dan ke atas kamu hak untuk tubuh kamu, dan ke atas kamu hak untuk keluarga kamu. Maka berilah kepada yang miliki hak tersebut."

Selain itu, terdapat hadis daripada Rasulullah s.a.w. yang mengizinkan gendang dimainkan pada majlis-majlis tertentu, sebagaiman Imam Tarmizi telah meriwayatkan daripada Aishah, katanya: Rasulullah s.a.w. telah bersabda, yang maksudnya:

"Isytiharkanlah perkahwinan ini dan akadlah di masjid serta pukullah rebana."

Begitu juga sejarah Islam telah menceritakan bagaimana gendang telah digunakan untuk menaikkan semangat pahlawan-pahlawan Islam yang berada di medan peperangan.

Imam al-Ghazali berpendapat bahawa mendengar nyanyian ada yang harus dan ada yang sunat serta ada pula yang haram. Nyanyian yang haram disebabkan oleh lima perkara yang mencorakkannya iaitu penyanyi, alat muzik yang digunakan, susunan kata-kata, tanggapan pendengar terhadap nyanyian dan pendengar yang terdiri daripada orang awam.

Sementara Sheikh Mahmud Shaltut, bekas Sheikh al-Azhar pula berpendapat bahawa mendengar suara indah dan merdu sama ada daripada binatang, manusia atau apa-apa alat atau ada kecenderungan untuk mempelajari sesuatu daripadanya adalah merupakan keinginan untuk memenuhi tuntutan nalurinya. Selama perkara itu tidak melalaikannya daripada kewajipan agama, bersesuaian dengan nilai akhlak dan bersesuaian pula dengan kedudukannya, maka ia diharuskan.
Oleh itu apabila membincangkan mengenai hiburan, hal-hal seperti susunan kata-kata yang haram, penampilan penyanyi, masa persembahan nyanyian yang menghalang kewajipan agama atau melalaikan manusia, majlis yang disertai dengan makanan dan minuman haram, pergaulan lelaki dan perempuan tanpa batas, dan kesan nyanyian kepada pendengar-pendengar tertentu yang membawa kepada
berkelakuan buruk hendaklah diambil-kira.
Selain itu, Islam juga telah meletakkan garis panduan asas yang perlu dipatuhi bagi memastikan sebarang bentuk hiburan yang ingin diketengahkan ke dalam masyarakat tidak terbabas dari landasan syariat. Antaranya ialah niat yang betul, tiada unsur-unsur yang bercanggah dengan akidah dan syariat Islam, tidak meninggal dan melalaikan kewajiban yang difardhukan oleh Allah s.w.t., sentiasa menjaga adab-adab pergaulan, tiada unsur perjudian (pertaruhan) dan tidak berlaku pembaziran. Juga tujuannya hendaklah betul, seperti untuk kesihatan, ketenangan dan kepuasan, jalan untuk taqarub dan mencapai keredaan Allah s.w.t., serta dapat menjalin hubungan sesama manusia.
Jelas kepada kita bahawa tujuan berhibur dalam Islam ialah untuk melahirkan insan yang sihat jasmani, rohani dan sosialnya. Insan yang sihat bukanlah yang hanya terhindar dari sebarang penyakit, tetapi juga terhindar dari permasalahan emosi, perasaan, isu-isu rumahtangga, kekeluargaan, tempat kerja dan sebagainya.
Maka dengan itu, sewajarnya tidak menjadi kesalahan sekiranya hiburan masa kini ingin disemarakkan tetapi hendaklah dibangunkan dalam bentuk dan acuan yang bersandarkan kepada garis panduan Islam kerana pastinya ianya memiliki unsur-unsur positif, terkawal, bersifat mendidik, dan diterima dari pandangan syarak.

Kesimpulan:
Menurut Fatwa Syeikh Syaltut, muzik adalah harus selagi bukan untuk tujuan melalaikan dan maksiat.
Manakala menurut Al-Ghazali, tidak ada perincian syarak berkenaan peralatan muzik yang halal dan haram. Ia bergantung kepada keadaan masa dan tempat serta mana-mana alat muzik yang baik dan lunak di dengar adalah harus, dan mana-mana alat muzik yang melalaikan dan dikaitkan dengan pemain muzik serta penyanyi yang mempamirkan akhlak yang buruk merupakan perkara yang ditegah sama sekali. 
Setelah kita melihat secara ringkas perbahasan mengenai hiburan dari sudut pandangan syarak , maka dapatlah kita menilai dan membuat perbandingan antara hiburan yang ada disekeliling kita, adakah ia bertepatan dengan pandangan hukum ataupun tidak. Artikel ini juga mampu memberi panduan kepada kita dalam memilih hiburan yang sesuai untuk kehidupan kita seharian agar tidak tersasar dari nilai-nilai murni yang dianjurkan oleh agama kita.

Sumber : MANHAL PMRAM

Garis Panduan Hiburan Dalam Islam


Dalil dari al-Quran
a) Firman Allah di dalam Surah al-Jumaah ayat 11:
Maksudnya: Dan apabila mereka mengetahui kedatangan barang-barang dagangan ( yang baru tiba) atau (mendengar) sesuatu hiburan, mereka bersurai (lalu pergi) kepadanya dengan meninggalkan engkau berdiri ( diatas mimbar- berkhutbah). Katakanlah (Wahai Muhammad:Pahala-balasan) yang ada disisi Allah, lebih baik dari hiburan dan barang-barang dagangan itu, dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki
Istinbat dari ayat di atas:
Sahabat-sahabat sedang mendengar khutbah Jumaat, meninggalkan Rasulullah saw dan pergi kepada perniagaan disamping mendengar nyaniyian yang menggembirakan (al-lahwu), namun demikian al-Quran tidak mengharamkan al-lahwu itu. Rasulullah saw juga tidak menempelak perbuatan itu. Ertinya: Nyanyian yang menggembirakan seperti itu adalah harus
b) Firman Allah di dalam Surah al-Anaam ayat 32
Maksudnya: Dan tidaklah kehidupan dunia ini melainkan mainan( yang sia-sia) dan hiburan yang melalaikan.
Istinbat dari ayat di atas:
Allah SWT menggambarkan penghidupan dunia ini seluruhnya ibarat permainan dan sukaria (al-laywu) kedua-duanya harus.
c) Firman Allah di dalam Surah al-Anbia" ayat 16-17
Maksudnya: Dan (ingatlah) kami menjadikan langit dan bumi serta segala yang ada diantaranya, secara main-main (16) Sekiranya kami hendak mengambil sesuatu ntuk hiburan, tentulah kami akan mengambilnya dari sisi kami, kami tidak melakukannya (17)
Istinbat dari ayat di atas:
Kedua-dua ayat di atas menyentuh dua perkara: i-mainan dan ii- kegembiraan (lahwu). Kefua-dua perkara tersebut tidak diharamkan. Ianya diharuskan( difahami dari gaya ayat).
Dalil dari as-Sunnah
a) Daripada Aisyah r.a katanya: Rasulullah saw telah masuk (menemui saya), ketika itu dua orang jariah (budak perempuan) sedang menyanyi- nyanyi (memperingati perang) Baath. Baginda (mendengar nyanyian) sambil berbaring ditempat baringku dan dipalingkan mukanya. (Tiba-tiba) masuk Abu Bakar r.a serta mengherdik saya dengan katanya serunai (mizmar) syaitan disisi nabi saw. Rasulullah saw mengadap Abu Bakar seraya berkata: Biarkan mereka menyanyi (tidak mengapa). Apabila keadaan Rasulullah saw agak selesa dan leka, aku mengisyaratkan dengan mataku kepada dua penyanyi tadi maka mereka pun berbenti menyanyi dan keluar (meninggalkan kami).(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Istinbat dari hadis:
Hadis soheh ini jelas menunjukkan nyanyian adalah diharuskan. Kalau tidak harus masakan Rasulullah saw mendengar nyanyian bersama Aisyah. Abu Bakar yang berkecendurangan melarang dan cuba menegur putrinya Aisyah, telah ditegur oleh Rasulullah kepanya, tidak mengapa. Nyanyian adalah harus.
b) Daripada Khalid bin Zakwan katanya: Ar-Rabi" binti Ma"waz berkata: Telah dating mengunjungiku nabi saw bersempenan hari perkahwinanku, baginda mengambil tempat duduk diatas hamparanku dihadapanku, sepertiman kamu berada dihadapnku sekarang. Ketika itu sekumpulan perempuan sedang mengadakan persembahan nyanyian dengan iringan duff (sejenis alat muzik). Menggunakan senikata memuji pejuang-pejuang yang terqurban dikalangan bapa-bapa kami diperistiwa perang Badar. Salah seorang penyanyi tersebut meneruskan nyanyian dengan menggunakan lirik: bersama kami nabi Allah yang mengetahui apa yang alan berlaku esok hari. Mendengar lirik terakhir itu Rasulullah saw menyapa: tinggalkan lirik itu dan teruskan nyanyian dengan lirik yang telah kamu nyanyikan sebelumnya. ( Hadis riwayat al-Bukhari dan A
Istinbat dari hadis:
Rasulullah saw menghadiri majlis perkahwinan yang serikan dengan nyanyian wanita-wanita muda menggunakan alat muzik. Rasulullah saw tidak melarang malah turut mendengar nyanyian itu. Rasulullah saw tidak melarang malah turut mendengar nyanyian itu. Yang dilarang adalah lirik lagu yang jelas bertentangan dengan hokum syarak. Tidak ada insan( (walaupun ia Rasulullah) yang mengetahui apa yang akan berlaku besok. Nabi melarang lirik dan tidak melarang nyanyian.
Dari keterangan al-Quran dan as-Sunnah di atas menunjukkan bahawa nyanyian atau kegembiraan adalah harus. Namun demikian rasulullah saw menegur lirik yang didengarinya dan melarang penyanyi menggunakannya.
2. Di zaman ini nyanyian dan hiburan, ada yang telah bercampur baur dengan perkara-perkara yang bercanggah dengan syarak, sama ada persembahannya atau seni katanya. Dari situasi itu, Jawatankuasa Syariah memutuskan sebulat suara untuk meletakkan syarat-syarat berikut untuk mengharuskan nyanyian:
i. Tujuan penganjuran nyanyian untuk kebaikan
ii. Berpakaian sopan serta menutup aurat
iii. Tidak bercampur aduk lelaki perempuan sehingga menimbulkan fitnah dan merangsang kemaksiatan
iv. Senikata/ lirik bermutu dan tidak bercanggah dengan hukum syarak
v. Tempat dan gaya persembahan yang tidak mengundang maksiat


Status Penwartaan: 
 Tidak Diwartakan
Tarikh Diwartakan: 
 1 Jan, 1970
sumber: http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/garis-panduan-hiburan-dalam-islam