Islam agama yang meraikan kepelbagaian fitrah manusia. Berbeza dengan agama-agama lain, Islam menolak sesuatu yang jauh daripada fitrah, juga sesuatu yang bersifat mengongkong penganutnya. Dalam konteks individu, sebagai contoh Islam menolak rahbaniah bahkan menganjurkan pelaksanaan ibadat dalam bentuk wasatiah, iaitu seperti menggalakkan seseorang berbuka apabila berpuasa, berkahwin dan tidak meninggalkan tidur dalam beribadat.
Justeru itu, fitrah manusia yang lainnya seperti kemuyulan untuk suka kepada kecantikan diraikan oleh Islam sama sekali. Kecantikan dan keindahan yang dikecapi oleh pancaindera sama ada melalui penglihatan mahupun pendengaran dan selainnya menjadi perkara yang diharuskan oleh Islam selagimana sejajar dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Pemilik Segala Kecantikan.
Menikmati keindahan, kecantikan dan hiburan yang dibolehkan sebenarnya mampu merehatkan jiwa, menenangkan hati, menyedapkan pendengaran. Hiburan yang dibolehkan juga mampu menyebarkan perasaan gembira terutama di majlis-majlis keraian.
PANDANGAN UMUM TENTANG HIBURAN
Secara umumnya, terdapat 3 golongan masyarakat yang berbeza pendapat tentang keharusan lagu dan muzik; pertama adalah mereka yang membuka pintu yang luas untuk semua jenis hiburan dan lagu dan menganggap lagu dan muzik merupakan suatu bentuk keindahan dalam hidup yang dibenarkan oleh Allah untuk hamba-hambaNya.
Kedua, golongan yang mutasyaddid, menutup terus ruang-ruang untuk berhibur terutama apabila hiburan tersebut disampaikan oleh golongan wanita kerana mereka mendakwa suara wanita adalah aurat, apatah lagi dengan nyanyian-nyanyian itu sendiri?
Ketiga, golongan yang duduk antara dua golongan yang sebelumnya, masyarakat yang menanti jawapan daripada golongan fuqaha’ dan ulama’ berkaitan perkara yang berhubung dengan kehidupan mereka seharian lebih-lebih lagi apabila radio sudah masuk ke rumah-rumah mereka.
DALIL-DALIL MENGENAI HUKUM HIBURAN
Bagi golongan yang mengharamkan terus hiburan, nyanyian mahupun muzik, holistiknya, mereka datang dengan dalil-dalil yang dipetik daripada Al-Quran, assunnah, dan ijmak, serta menggunakan kaedah saddu’ zaraie’ (menutup ruang-ruang membawa kepada haram) dan kaedah menjauhi syubhat (ittiqai assyubhat).
“Namun begitu, majoriti fuqaha’ antaranya Syeikh Yusuf Al-Qardhawi menjawab bahawa nas-nas yang didatangkan walaupun ditafsir oleh para sahabat seperti Ibnu Mas’ud dan Ibnu Abbas dalam sesebuah ayat, ia bukanlah satu-satunya tafsiran yang boleh diambil kira”
Namun terdapat tafsiran-tafsiran lain yang boleh diguna pakai dalam menafsirkan ayat tersebut. Tafsiran para sahabat untuk satu-satu ayat tidak dihukumkan dengan marfu’ melainkan tafsiran yang turun sebagai asbab nuzul.
Syeikh Wahbah Zuhaili menaqalkan kata-kata Imam Al Fakihani; “Tidak aku ketahui daripada Kitab Allah mahupun sunnah suatu hadis yang sahih dalam pengharaman hiburan-hiburan malah ia adalah zahir dan umum ayat yang boleh ditakwil tanpa dalil-dalil yang qat’ie”
Adapun untuk nas-nas daripada assunnah yang dijadikan dalil pengharaman oleh golongan ini telah pun dihukumkan dhoif oleh mazhab zohiriah, malikiah, hanabila dan syafiiah . Oleh itu, kebanyakan ulama’ zohiriah, ahli madinah dan golongan sufiah merukhsahkan lagu-lagu untuk didengar walaupun yang datang daripada gambus dan seruling.
Kaedah seterusnya yang dijadikan dalil oleh golongan yang mengharamkan terus hiburan ialah saddu zaraie’(menutup ruang-ruang yang boleh membawa kepada haram).
“Syeikh Yusuf Qardhwi menjawab bahawa kaedah ini tidak sepatutnya digunakan secara mubalaghah (berlebih-lebihan) terutamanya apabila mengharamkan sesuatu yang boleh membawa kepada kebaikan dan menyempitkan ruang-ruang yang telah diberi sedangkan kaedah ini terdapat tahap-tahapnya dan tidak sampai tahap yang ditutup terus jalan ke arahnya”
Manakala kaedah ittiqa assyubhat (menjauhi perkara-perkara syubhat) bukanlah suatu kewajipan, namun ia adalah perkara sunat sahaja yang digunakan untuk perkara yang samar-samar, bukanlah digunakan antara dua perkara yang sudah jelas keharusannya.
Mengikut kaedah usul fiqh, asal sesuatu perkara adalah mubah (harus) sehingga datangnya dalil pengharaman. Perkara yang sudah thabit pengharamannya tidak boleh diingkari lagi pengharamannya, namun perkara yang diikhtilafkan, sesebuah golongan tidak boleh mengilzamkan yang lain supaya berpegang dengan satu-satu pendapat.
Memetik pandangan Imam Nawawi yang menarik dalam hal ini; “Setiap mujtahid telah mendapat pahala kerana benar, adapun mujtahid yang tersalah tidak dipertanggungjawabkan, kerana dosa telah terangkat daripadanya.”
Sedangkan golongan yang membolehkan hiburan pula mendatangkan nas-nas daripada ayat Al-Quran, hadis, kata-kata para sahabat dan kembali kepada maqasid syariah. Maqasid syariah mengatakan bahawa Islam tidak pernah mengharamkan suatu yang baik melainkan ia membolehkannya, sebagai rahmat kepada ummah untuk kebaikan jiwa-jiwa dan akal manusia.
HUKUM & SYARAT HIBURAN DIHARUSKAN
Syeikh Wahbah Zuhaili menyebutkan syarat-syarat dibolehkan hiburan antaranya :
1) Tidak meninggalkan adab-adab Islam
2) Isi, tajuk lagu tersebut tidak menarik ke arah kemaksiatan dan perkara-perkara haram serta meninggalkan perkara-perkara wajib
3) Tidak disekalikan dengan kemaksiatan seperti dalam majlis yang bercampur dengan minum arak, berzina dan sebagainya
4) Larangan membawa masuk alat muzik ke masjid kerana masjid dibina untuk mengingati Allah dan solat.
Dua syarat lain ditambah oleh Syeikh Yusuf Al-Qardhawi :
5) Lagu yang didengar tidak sampai terkesan atau kekal dalam diri pendengar sehingga merangsang syahwatnya dan mendorong ke arah fitnah
6) Tidak berlebih-lebihan kerana Islam melarang berlebih-lebihan dan sia-sia
Jika bentuk hiburan tersebut sudah bebas daripada unsur-unsur haram seperti di atas, maka para ulama’ berselisih pendapat mengenai keharusan hiburan tersebut:
1) Sebahagian daripada mereka mengharuskan nyanyian sama ada dengan alat atau tanpa alat bahkan menganggapnya sebagai mustahab (perkara yang digalakkan)
2) Sebahagiannya menghalang dengan alat, tetapi mengharuskan tanpa alat
3) Menghalang terus secara mutlak bahkan masih menganggapnya haram
Syeikh Yusuf Al-Qardhawi menyimpulkan dalam fatwanya bahawa,:”Nyanyian secara zatnya adalah halal berdasarkan kaedah asal pada sesuatu adalah halal selagimana tidak datang bukti nas yang betul mengenai pengharamannya.”
Dinaqalkan daripada Ibnu Juraij bahawa hukum harusnya lagu ini juga mengambil kira faktor niat. Bukan semua lagu itu perkara yang sia-sia dan melalaikan akan tetapi hukumnya bergantung kepada niat seseorang. Niat yang baik menjadikan perkara yang sia-sia suatu perkara yang mendekatkan diri kepada Allah, menjadikan gurauan kepada ketaatan manakala niat yang buruk menghapuskan amal yang zahirnya ibadat tetapi batinnya riya’.
Syeikh Wahbah Zuhaili mengatakan hukum mendengar nyanyian pula yang membenarkan percampuran antara lelaki dan perempuan telah diharamkan oleh keempat-empat mazhab kecuali nyanyian dalam majlis perkahwinan, meraikan kelahiran, menyambut keraian untuk negara atau untuk tujuan merawat.
HUKUM MENGENAI SUARA PEREMPUAN
Islam memelihara ketinggian wanita dengan memberi garis panduan dalam muamalat, tertib pemakaian dan akhlak demi menjaga ‘iffah wanita itu sendiri. Walaubagaimanapun, suara wanita bukanlah aurat mengikut pandangan Islam. Buktinya, wanita di zaman nabi sallallahualayhiwasallam bertanyakan hukum hakam kepada baginda dan bermuamalat dengan para sahabat mengenai keperluan mereka.
Namun begitu, suara wanita yang pada asalnya bukan aurat bertukar menjadi aurat apabila tidak memenuhi salah satu daripada tiga syarat iaitu apabila isi kandungan kalamnya mempunyai unsur tidak baik dan haram. Jika wanita terlibat dalam pertandingan musabaqah Al-Quran, maka ketika itu suaranya bukanlah aurat kerana isi kandungan kalamnya adalah ayat suci Al-Quran.
Manakala syarat yang kedua adalah suara wanita tersebut disyaratkan tidak lantang, tidak ditinggikan suara melebihi had i’tidal seperti menjerit-jerit yang boleh menjatuhkan maruah dan akhlaknya.
Syarat yang ketiga iaitu hendaklah suara wanita tersebut jika didengari ketika khalwat (berdua-duaan) dengan lelaki ajnabi tidak sampai membawa kepada zina.
Andai kata suara wanita tersebut jika didengari oleh lelaki ajnabi ketika berdua-duaan menjatuhkan seseorang kepada zina maka suara tersebut bertukar menjadi aurat.
Oleh itu, dalam apa jua keadaan sekalipun, wanita digalakkan untuk menjaga adab dalam percakapan supaya tidak membawa kepada fitnah terutama bagi kaum lelaki.
PENGGUNAAN ALAT MUZIK
Mazhab Hanbali mengatakan bahawa hukumnya haram. Segala alat muzik yang ditiup dan bertali seperti seruling dan gitar serta lain-lainnya. Mazhab Shafie juga mengatakan haram bagi segala alat muzik bertali, bertiup dan segala alat muzik yang dipalu melainkan kompang. seperti seruling dan gitar serta lain-lainnya.
Mazhab Maliki pula mengatakan haram menggunakan alat-alat muzik yang bertali seperti gitar dan lain-lainnya. Mazhab Hanafi juga mengatakan hukum semua jenis alat muzik haram kecuali kompang.
Namun begitu, di sana berlaku perselisihan ulama-ulama dalam membincangkan dalil-dalil yang digunakan oleh ulama-ulama mazhab dalam permasalahan alat-alat muzik yang dibenarkan dan tidak dibenarkan oleh syarak. Setelah meneliti pandangan-pandangan ulama pelbagai mazhab, maka dapat disimpulkan di sini bahawa harus menggunakan semua jenis alat muzik.
Ini kerana tiada dalil yang sahih dan terang bagi mengharamkan jenis-jenis alatan muzik itu. Kenyataan ini dikeluarkan oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qardhawi bagi menyokong pendapatnya seperti tertulis dalam kitabnya al-Islam Wa al-Fannu.
Pengharaman sesuatu alat muzik akan berlaku kerana adanya unsur-unsur lain seperti maksiat dan kelalaian terhadap tuntutan agama bersamanya. Namun perlu diingatkan bahawa hendaklah kita sentiasa meraikan ijtihat-ijtihat ulama muktabar kita dalam sesuatu masalah yang dikemukakan.
KESIMPULAN
Tuntasnya, lebih awla apabila seorang muslim untuk mengambil azimah untuk dirinya dan menghindari diri daripada perkara yang meragukan. Barangsiapa yang mengambil rukhsah maka hendaklah dia menjaga dirinya dan memilih sesuatu yang paling jauh daripada tempat yang boleh menjatuhkan dosa selagi dia mampu.
Jika masalah yang dibincangkan semata-mata pada masalah mendengar hiburan, muzik dan nyanyian hukumnya dibolehkan tetapi dengan syarat-syarat yang ditetapkan, maka penglibatan seseorang dalam dunia seni adalah suatu bahaya yang besar pada agama seseorang muslim yang sangat jarang sekali orang yang dapat keluar daripadanya dalam keadaan selamat dan sejahtera.
“Penglibatan wanita muslimah pula dalam nyanyian mendedahkannya kepada fitnah dan mungkin menjatuhkannya ke dalam lubang haram seperti kemungkinan berdua-duaan dengan orang asing, bercampur gaul dengan kaum lelaki bahkan percampuran dengan wanita-wanita yang berhias secara bebas sama ada dengan muslim atau bukan muslim boleh membawa kepada haram.”
Pesanan daripada al-faqir : Janganlah BERLAZAT-LAZAT dengan perkara yang HARUS kerana kemungkinan membawa kepada perkara yang HARAM.
RUJUKAN :
Imam Nawawi Syarah Soheh Muslim
Syeikh Yusuf Al-Qardhawi Fiqh Al-Ghina’ Wal Musiqi
Al Ustaz Adduktur Wahbah Zuhaili Fiqh Muasarah
Fatawa Mar’ah Muslimah
Muhadarah Syeikh Ahmad Hajain Masjid Al-Azhar
Syeikh Yusuf Al-Qardhawi Halal Wal Haram Fil Islam
DISEDIAKAN OLEH :
PELAJAR AMANAHRAYA ISLAMIC STUDIES STUDENTS ASSOCIATION
Universiti Al-Azhar As-Syariff, Kaherah
Wallahua’lam.
sumber pautan: http://paksi.net/v1/2011/10/hukum-hiburan-dalam-islam/
nota kaki: gambar sebagai hiasan. Dicuplik daripada google image